Program Pemulihan Khas telah
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an
bagi membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus
dalam pembelajaran iaitu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira
(3M). Pada tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia telah memperkenalkan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum baru ini merupakan satu usaha
untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi fokus kepada
kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Murid-murid yang tidak menguasai
3M dibantu melalui aktiviti pemulihan dalam kelas.
Fokus ke arah membasmi masalah 3M ini
turut termaktub di dalam Teras Ketiga : Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan
Teras Keempat : Merapatkan Jurang Pendidikan; dalam Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) 2006–2010. Melalui kedua-dua teras ini, beberapa pelan
tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran asas 3M
pada tahap 1. Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkasakan Program
Pemulihan Khas dengan menaik taraf kelas pemulihan khas dan menyediakan Guru
Pemulihan terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah Kurang Murid (SKM).
Melalui Transformasi Pendidikan,
Program Literasi dan Numerasi (LINUS) telah diperkenalkan pada bulan Ogos 2009.
Program LINUS adalah sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara
(NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan merupakan satu
kesinambungan daripada program yang sedia ada bagi mengatasi masalah penguasaan
kemahiran asas 3M dengan lebih sistematik. Pelaksanaan program LINUS
mensasarkan 100% murid tahun 3 menguasai kemahiran literasi dan numerasi
sebelum ke tahun 4 mulai tahun 2013 kecuali murid berkeperluan khas.